19 May 2012

Kisah 4: Pengurusan kematian

Ajal akan datang pada bila-bila masa. Begitu juga kematian di kalangan warga Afrika di Malaysia.  Saya amat simpati bila mengetahui ada kematian di kalangan warga Afrika di negara ini. Ada di kalangan mereka yang mati kerana kemalangan, mati kerana  jatuh bangunan disebabkan lari dari pihak imigresen dan polis yang melakukan serbuan dan mati kerana sakit  juga tidak ketinggalan  dikalangan yang  bakal mati di tali gantung kerana hukuman mandatori terhadap jenayah berat dilakukan di negara ini. Kebiasaan mereka akan menghantar mayat ke negara asal. Kesukaran mereka adalah cara untuk menghantar pulang mayat walaupun kedutaan telah dimaklumkan.Pihak kedutaan hanya menguruskan perkara membabitkan perundangan tetapi kewangan tidak diberikan bantuan.
Kebiasaannya di kalangan warga Afrika mereka akan menghantar sms  untuk pemberitahuan seseorang telah meninggal dunia. Sumbangan ikhlas bagi membiayai kos penghantaran mayat ke negara asal amat diperlukan segera mungkin. Ada mayat yang terpaksa diletakkan di bilik sejuk hospital hampir sebulan kerana tidak cukup wang dikumpul bagi tujuan pengurusan mayat untuk dihantar pulang ke negara asal.
Rakan serumah akan menguruskan mayat mereka sehingga selesai urusan dengan pihak hospital, polis, imigresen dan kedutaan akhir sekali usaha mengumpulkan wang bagi memastikan mayat dihantar ke negara asal berjalan lancar sehingga diterima oleh ahli keluarga si mati.
Di kalangan warga Afrika, mereka tiada satu  persatuan untuk tujuan pengurusan mayat. Apabila berlaku kematian, tiada tempat untuk dirujuk melainkan pergi ke kedutaan untuk mengetahui prosedur menguruskan kematian selain  bertanya rakan-rakan yang mengetahui urusan membabitkan perundangan dan membawa pulang mayat ke negara asal.
Majoriti warga Afrika melalukan secara sukarela walaupun mereka tidak mengenali satu sama lain untuk bersama mengumpul wang bagi memastikan mayat rakan mereka dapat dikebumikan di negara asal.Ini kerana untuk menempah kargo kapalterbang bagi  membawa keranda dan mayat kosnya tidak semurah tiket kapalterbang bagi individu yang masih  hidup.




No comments:

Post a Comment